CALON Perikatan Nasional (PN) Taman Medan, Afif Bahardin menafikan dakwaan seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malasyia (Bersatu) bahawa majoriti 31 calon parti itu yang bertanding pada PRN Selangor adalah dari ‘kem Azmin Ali’.
Afif yang mewakili Bersatu berkata, semua calon yang bertanding atas tiket PN melalui proses tapisan ketat dan dipersetujui pucuk pimpinan peringkat Pusat.
“Kami semua mewakili PN, bukan mewakili mana-mana kem,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu pada sidang media.
FMT semalam melaporkan seorang pemimpin bahagian Bersatu mendedahkan majoriti calon parti itu datang daripada ‘kem Azmin’.
Pendedahan itu menyusul selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Faiz Na’aman menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan cara parti itu memilih calon untuk PRN Selangor.
Faiz turut mempersoalkan mengapa parti itu mengambil risiko dengan memilih semula calon yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Ini termasuklah Azmin yang bertanding di Hulu Kelang, Datuk Seri Rina Harun (Batu Tiga), Sasha Lyna Abdul Latif (Bukit Antarabangsa) dan ‘Afif yang semua disifatkan beliau sebagai ‘lemah’ kerana ditolak oleh rakyat.
Pada PRU15, Afif bertanding di Parlimen Shah Alam namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Azli Yusof.
Afif berkata, beliau menghormati pandangan Faiz namun meminta rakannya itu tidak mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya menjemput pemimpin berkenaan membantu beliau berkempen di Taman Medan.
“Saya mahu fokus Taman Medan, hanya tinggal 11 hari saja lagi (tempoh kempen). Faiz seorang sahabat yang baik, saya gembira kalau dia bantu saya (berkempen) di Taman Medan,” katanya, lapor FMT.
PN bertanding di semua 56 kerusi DUN di Selangor, dengan Bersatu diberikan kerusi paling banyak iaitu 31, diikuti Pas (17) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (lapan).
Leave a Reply