TAN Sri S.A. Vigneswaran secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden MIC itu berkata, partinya menyifatkan mereka dianaktirikan Zahid yang juga Presiden UMNO dan perkara itu disampaikan secara terbuka semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Saya tidak dapat baca ucapan teks hari ini secara umum lebih-lebih lagi dengan kehadiran media hari ini. Saya seperti tidak dapat bercakap kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada di sini hari ini, kita juga hanya dapat tahu beliau akan hadir pada saat akhir.
“Bagaimanapun ingin saya cakap di hadapan semua tentang rasa kurang senang kami terhadap tindak tanduk khasnya dalam BN itu sendiri. Kami telah dianaktirikan dalam soal pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Perdana Menteri bersama ahli-ahli MIC di Ibu Pejabat MIC Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Vigneswaran, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan namun tidak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa.
Malah katanya, terdapat ahli parti yang menyangka beliau ‘mendapat sesuatu’ dan ini menyebabkan beliau mengambil pendekatan untuk bercakap secata terbuka.
“Selama ini juga apabila masyarakat melemparkan tohmahan, kita terus setia bersama BN dan UMNO sehinggalah komuniti ini bertindak menjauhkan diri dari kami, semua isu kami dipersalahkan. Kami terima dan terus berjuang bersama komponen sehingga saat ini, jadi mengapa anak tirikan komponen MIC dan MCA?
“Saya hargai semua komitmen dan bantuan yang Datuk Seri Anwar lakukan untuk MIC. Saya dan MIC cukup berterima kasih dengan dana RM25 juta yang diberikan oleh beliau, juga ikrar beliau untuk memastikan segala isu-isu menghantui komuniti India akan cuba diselesaikan olehnya dalam tempoh setahun ini. Kami maklum dan berterima kasih,” ujarnya.
Vigneswaran berkata, MIC tidak sepatutnya mengahdapi situasi seperti itu lagi dan ia perlu ditangani secara terhormat.
“Kalau tidak beri jawatan juga tidak apa, tapi berilah penghormatan yang sewajarnya kepada kita,” katanya, lapor Agenda Daily.
Leave a Reply