Hapus cukai pintu, lesen perniagaan peniaga kecil, caj parkir antara manifesto PN Selangor – Azmin

ISU kebajikan rakyat Selangor menjadi keutamaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu berkata, antara tawaran yang akan dibuat kepada warga Selangor selepas PRN nanti adalah antaranya langkah untuk menghapuskan cukai pintu dan lesen perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil yang sebelum ini pernah dilaksanakan ketika di bawah pentadbirannya semasa menjadi Menteri Besar Selangor.

“Hari ini kita menang, Insya-Allah cukai pintu dihapuskan, lesen perniagaan hapus… tapak-tapak perniagaan pasar malam, pasar tani, pasar minggu, peniaga-peniaga tidak perlu bayar.

“Dan untuk Selangor utara, ada lima daerah, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor… tidak perlu lagi bayar parking di semua tempat letak kereta,” kata Azmin semasa ceramah berkelompok di pusat bandar Taman Melawati malam tadi.

Menurut Azmin, tawaran tersebut sudah dibincang dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju untuk memasukkan ke dalam tawaran manifesto yang akan dibentang pada Jumaat ini.

Jelasnya, banyak rungutan diterima warga Selangor terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) selama lima tahun memerintah negeri tersebut yang tidak prihatin dengan nasib peniaga kecil, malah terpaksa berdepan saman parking yang banyak.

“Zaman saya dulu, kita hapuskan cukai pintu… Betul? Saya hapuskan lesen perniagaan, peniaga-peniaga tak payah (bayar), sekarang? saman.

“Saya pergi Tanjong Karang baru-baru ini, penduduk ‘complaint’ (mengadu) lambat lima minit kena saman,” katanya lagi.

Selain itu, Azmin juga berjanji khairat kematian sebanyak RM2,500 akan diberikan semula penduduk Selangor selepas ini.

“Hari ini kita menang, kalau ada ahli keluarga meninggal, saya akan beri semula RM2,500,” katanya lagi, lapor SatuBerita.

Tidak ketinggalan, Azmin juga berkata, air percuma juga akan diberikan kepada penduduk Selangor seperti yang pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

Untuk rekod, PN Selangor akan membentangkan ke semua tawaran manifesto mereka pada Jumaat ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *