Gelombang sokong PN dalam PRN lebih besar berbanding ketika PRU-15

Oleh RIZQI ZABIDI

GELOMBANG kebangkitan rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat lebih besar berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, gelombang itu jelas terlihat terutamanya melibatkan golongan muda.

Katanya, berbanding hanya terlihat ketika saat-sata akhir pada PRU15, gelombang tersebut kali ini sudah terzahir sejak dari awal.

“Pada masa itu (PRU15), kita tak nampak sebab payah nak baca anak muda kerana seramai tujuh juta (pengundi baharu) yang masuk dalam sistem pilihan raya, kita tak tahu ke mana hala tuju mereka.

“Dekat pilihan raya baru kita lihat gelombang bersama PN. Tetapi keadaan kini berbeza kerana sejak dari awal lagi iaitu sebelum hari penamaan calon, gelombang PN berlaku di semua enam negeri,” katanya.

Beliau ketika demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Gelombang PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Pekan Naka, Padang Terap, Kedah, malam tadi.

Tambah Tuan Ibrahim, gelombang terbabit sudah tidak dapat dibendung boleh disaksikan di mana-mana saja.

Malah katanya, gelombang itu akan diterjemahkan pada hari pengundian PRN, 12 Ogos nanti.

“Sebab itu mereka (BN dan PH) bimbang dan tengok siapa ‘kepala’ (PN) iaitu Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor). Sebab itu dia wirid Sanusi, Sanusi. Tidur malam pun mimpi Sanusi.

“Sanusi kita lantik Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, dia jadi pengarah atau seperti komander tentera. Dia tahu nak bawa dan hadap macam mana serta strategi yang perlu dibuat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *