Calon PN Kok Lanas: Ambil iktibar orang Patani, Melayu Singapura

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Zawawi mengingatkan masyarakat Melayu tidak leka sehingga kuasa politik boleh ‘terlepas’ daripada genggaman.

“Kekuatan agama itu sendiri tidak memcukupi, kita perlukan kekuatan untuk memerintah dan memimpin negara untuk menjamin kepentingan agama kita, bangsa kita semua, supaya kita tidak akan terpencil.

“Kalau kita lihat kehidupan orang Patani di Selatan Thailand, pegangan agama, amalan agama mereka cukup kuat. Tetapi mereka tiada kekuatan politik, dan akhirnya apa yang terjadi kepada mereka?

“Mereka hanyalah satu kumpulan yang terpencil tidak ada negara, tidak ada negeri. Orang Patani ini orang Islam, berkulit sawo matang seperti kita, sama macam orang Melayu kita, agamanya Islam seperti orang Melayu kita.

“Tetapi tanpa kekuatan politik orang Patani tidak ke mana, orang Patani hanyalah sebahagian kecil daripada negara Thailand yang begitu besar dan majoritinya beragama Buddha, ini satu contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program ceramah isu-isu semasa sempena pilihan raya negeri (PRN) di Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, calon PN bagi PN DUN Kadok, Azami Mohd. Nor.

Mohamed Farid berkata, keadaan terpencilnya orang Melayu turut berlaku di Singapura kerana pemerintahan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu mendakwa, orang Melayu Singapura sudah hilang identiti bangsa dan hanya dikenali sebagai orang Singapura.

“Contoh kedua ialah Singapura, ia adalah sebahagian daripada negeri Johor, sebuah pulau yang dikuasai orang Melayu. Tetapi hari ini kalau kita ke Singapura kita naik teksi atau Grab, ada pemandu Melayu.

Foto Facebook Datuk Mohamed Farid Zawawi

“Apabila kita tanya dia orang Melayu ke? Dia kata ‘I am Singaporean’ (saya orang Singapura).

“Kita tanya bangsa, bukan negara, tapi jawapannya saya orang Singapura, tanya sekali lagi barulah dia jawab saya orang Melayu Singapura. Ini bermaksud identiti bangsa itu telah hilang untuk orang Melayu di Singapura.

“Bermaksud dengan dogma dan ‘brainwash’ dilakukan oleh kerajaan PAP di Singapura selama berpuluh-puluh tahun menjadikan orang Melayu di Singapura bukan lagi orang Melayu. Ia menjadi satu sekumpulan rakyat yang disebut sebagai Singaporean,” jelasnya.

Tambahnya perkara seumpama itulah yang ditakuti dan dibimbangi di Malaysia apabila melihat pegangan kuasa DAP dengan 40 kerusi.

Katanya, PAP di Singapura walaupun undi majoriti mereka hanya 61 peratus tapi boleh pegang 90 peratus kerusi parlimen Singapura.

“Cuba bayangkan kalau kita tidak pertahankan kerusi kita di tanah Kelantan ini, kalau kita tidak pertahankan siapa lagi akan pertahankan tanah kita? Kalau kita tidak memerintah tanah kita ini, orang Melayu yang berkulit sawo matang ini, takkanlah kita nak kata orang kulit kuning cair akan mempertahankan agama dan negeri kita? Tidak mungkin.

“Apa yang saya takut, saya risau walaupun dengan hanya memegang undi popular 45 peratus dengan cara mereka melakarkan garisan kawasan-kawasan politik Parlimen dan sebagainya mereka boleh menguasai mungkin sampai dua pertiga kerusi Parlimen di negara kita.

“Apabila ini berlaku ia satu perkara yang tidak boleh dibiarkan, kita harus pertahankan denagn sepenuh hati, kekuatan dan kesatuan antara semua orang Melayu bukan saja di Kok lanas, Melor, dan Kadok, malahan keseluruhan orang Melayu supaya akhirnya suara kita dengan mandat yang besar.

“Bukan saja di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan kita bertapak di Pulau Pinang akan menjadi satu referandum yang cukup besar dan insya-Allah maka jatuhlah kerajaan ‘Madanon’ yang ada hari ini,” tegasnya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *