Sasha Lyna Abdul Latif

Bersatu dakwa kerajaan Selangor guna isu PJD Link sebagai modal kempen PRN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kerajaan menggunakan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sebagai modal kempen bagi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Ketua Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif mempersoalkan sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memanipulasi sentimen pengundi Petaling Jaya.

“Ini berlaku selepas Amirudin mencadangkan PJD Link boleh dihidupkan semula jika ‘syarat’ tertentu dipenuhi, walaupun sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan projek itu.

“Adakah beliau mempermainkan hati dan fikiran pengundi Petaling Jaya atau kempen tidak berprinsip ini diamalkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN,” soal Sasha dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Amirudin membatalkan projek itu semasa tempoh berkempen dan bukannya pada masa lain, merujuk kepada dakwaan cubaan mempengaruhi pengundi semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

“Penduduk Petaling Jaya telah memberi tempoh seminggu kepada kerajaan Selangor dari hari ini untuk berkongsi ‘syarat’ seperti yang disebut oleh Amirudin,” katanya.

Mereka katanya, berhujah bahawa kegagalan untuk berbuat demikian akan menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri tidak menunjukkan komitmen serius untuk menolak projek lebuh raya masa depan di Petaling Jaya seperti PJD Link dan Lebuhraya Kinrara-Damansara.

Projek kontroversi PJD Link telah menjadi subjek kemarahan orang ramai selama beberapa tahun, dengan penduduk malah membawa pihak berkuasa ke mahkamah atas dakwaan keengganan untuk menyerahkan dokumen projek.

Projek cadangan PJD Link sejauh 25.4 kilometer adalah untuk menghubungkan lebuh raya Sprint di Damansara ke lebuh raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara.

Sementara itu, Sasha meneruskan dakwaan ‘manipulasi’ dengan menyorot kepada kenyataan kontroversi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Minggu lalu, Zahid dikecam kerana menggesa orang ramai mengundi ‘gelombang biru dan merah’ sambil mengumumkan peruntukan yang disediakan kementeriannya.

Susulan itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman menuduh Zahid menormalisasikan rasuah.

“Ini adalah salah guna pilihan raya yang sering dikeluhkan oleh PH dan Bersih.

“Kini PH dan BN melakukan penyelewengan yang sama. Kami (Bersatu) menggesa mereka untuk menghentikan jenis kempen murahan dan tidak adil ini dan bertanding secara adil dalam pilihan raya ini,” kata Sasha, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *