Azmin makin disenangi, diterima di penduduk Hulu Kelang

SEBAHAGIAN penduduk Hulu Kelang sudah tidak berapa ambil peduli tentang peranan Datuk Seri Azmin Ali dalam Langkah Sheraton dan kepercayaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor itu semakin meningkat susulan kerja kerasnya di kawasan itu.

Beberapa penduduk memberitahu, mereka tidak lupa peranan Azmin dalam langkah politik itu yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, tetapi mereka turut mendapati beliau bekerja keras untuk memenangi hati mereka.

Azmin julung kali mewakili Hulu Kelang pada 1999, sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa – Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak.

Orang ramai gembira bertemu Azmin Ali di pusat bandar Taman Melawati semasa berkempen malam tadi. – Foto Facebook Azmin Ali

Halim Said, 51, berkata, Azmin bekerja keras dan kerap menemui penduduk, khasnya golongan miskin di kawasan itu.

“Beliau bekerja seolah-olah dia masih wakil rakyat di sini.

“Bahkan selepas PRU, beliau masih bertemu penduduk untuk mengenal pasti sebarang isu dan menghulur sumbangan kepada surau, masjid dan sekolah. Saya tidak terkejut jika beliau menang kali ini,” katanya memetik laporan FMT.

Katanya, keputusan PH meletakkan Juwairiya Zulkifli yang kurang dikenali penduduk hanya memberi kelebihan kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Halim berkata, Anfaal Saari yang juga anak perempuan bekas ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib boleh menjadi pesaing lebih baik buat Azmin kerana lebih dikenali penduduk.

Hulu Kelang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azmin yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan Juwairiya, bekas ADUN Bukit Melawati.

Orang ramai gembira bertemu Azmin Ali (tengah) di pusat bandar Taman Melawati dengan ditemani Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri), malam tadi. – Foto Facebook Azmin Ali

Rokiah Shamsudin, 61, pula mendapati Azmin pantas bertindak terhadap aduan berkaitan isu setempat, menyebabkan popularitinya semakin meningkat dalam kalangan penduduk selepas dilabel ‘pengkhianat’.

Beliau percaya, Azmin akan mendapat sokongan pengundi kecewa selepas PH bekerjasama dengan bekas seterunya, Barisan Nasional (BN).

Hamidah Majid yang berusia 40-an berkata, Langkah Sheraton dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini menjadi sejarah dan penduduk mahu wakil rakyat mudah didekati serta aktif turun padang.

“Bagaimana kami nak undi individu kelihatan seperti orang asing di sini,” soalnya merujuk Juwairiya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *