Artis antarabangsa biadab: Pas desak Fahmi letak jawatan

PAS mendesak supaya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meletakkan jawatan susulan isu kelakuan tidak senonoh membabitkan kumpulan artis antarabangsa The 1975, bulan lalu.

Tegas Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kerajaan sepatutnya lebih peka dan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum membenarkan artis antarabangsa membuat konsert di negara ini.

Jelas beliau, perli diketahui banyak kumpulan rock antarabangsa menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Mereka juga antara lainnya kumpulan Coldplay. Kami minta pihak kerajaan tapis dahulu sebelum meluluskan konsert sebegini dan sekiranya terbabit dengan agenda seperti ini jangan bagi masuk awal-awal lagi.

“Namun kerajaan hentam kita pula dalam Dewan Rakyat, kata pembangkang ini tidak ada benda lain nak bercakap,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Kota Bharu malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, isu yang berlaku itu menunjukkan kerajaan yang longgar dalam negara ketika ini.

“Jadi, Menteri Komunikasi dan Digital wajib letak jawatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, konsert kumpulan tersebut dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada 21 Julai lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *