Syahir ubah fikiran, setuju debat dengan Rafizi

AHLI Parlimen Bachok daripada Perikatan Nasional (PN), Syahir Sulaiman membuat pusingan U berhubung cabaran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berdebat mengenai hal ehwal ekonomi.

Semalam, wakil rakyat Pas itu menolak pelawaan Rafizi dengan berkata, beliau lebih cenderung untuk perbincangan, bukannya berdebat.

Katanya, lebih baik menghabiskan masa dan tenaga bekerja serta berkhidmat kepada rakyat untuk menyelesaikan pelbagai isu dihadapi mereka.

Hari ini, Syahir memutuskan menerima pelawaan Rafizi untuk berdebat yang akan diadakan 9 Ogos ini.

“Saya ucapkan terima kasih (kepada Syahir). Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat,” kata menteri ekonomi itu dalam akaun Twitter miliknya, lapor FMT.

Rafizi mencabar Syahir berdebat selepas Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali menolak tawaran itu.

Syahir pada mulanya berkata, beliau akan menunggu jemputan rasmi daripada Rafizi sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *