Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pasukan peguamnya memaklumkan bahawa perintah injunksi interim diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkan Perdana Menteri dengan perbuatan tidak bermoral, diperolehi secara ‘Ex-Parte’.
Muhammad Sanusi mendakwa, permohonan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi, tanpa menyerahkannya kepada pihak defendan dengan mereka berhujah sebelah pihak, tanpa defendan dipanggil berhujah dan dibenarkan mahkamah.
“Itu maksud ‘ex-parte’ yang diperuntukkan di bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk keadaan-keadaan tertentu saja.
“Permohonan dibuat pada 26 Julai 2023, perintah diberikan empat hari selepas itu iaitu pada 30 Julai 2023.
“Tak ada hujan, tak ada ribut. Tiba-tiba pokok bergoyang dan dedaun pun luruh,” dakwanya dalam laman Facebooknya, hari ini.
Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperoleh perintah injunksi interim (sementara) terhadap Muhammad Sanusi bagi menghalang Menteri Besar Kedah itu daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral.
Perintah injunksi itu adalah berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung dakwaan ucapan yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Dalam keputusan yang dibuat melalui permohonan secara ex-parte semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib, memerintahkan Sanusi untuk tidak mengeluarkan, mengulangi, dan menerbitkan kenyataan berkaitan dengan saman fitnah yang difailkan Anwar.
Hakim juga memerintahkan Sanusi perlu mematuhi perintah injunksi itu dengan serta merta selepas perintah berkenaan disampaikan kepadanya.
Leave a Reply