PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan menawarkan 18 program utama sebagai manifesto berdepan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Tema ‘Kelantan maju, rakyat sejahtera’ diangkat dengan membabitkan 96 pengisian tawaran.
PN Kelantan antara lain menawarkan program pembangunan sosioekonomi yang memberi fokus pembukaan bandar-bandar baru dan membangunkan bandar sempadan yang mampu menambah peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, gabungan parti diterajui Pas yang mentadbir Kelantan sejak 33 tahun itu menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (Taps).
Melalui buku tawaran program yang diedarkan, ia juga menawarkan program pembangunan insaniah, pembangunan pendidikan dan kemahiran, pembangunan wanita, pembangunan keluarga dan masyarakat, anak muda bermaruah, kecaknaan insan istimewa, perluasan prarasana digital dan memajukan produktiviti pertanian.
Selain itu ia juga meliputi pelestarian alam sekitar, ihtirafi tadbir urus, kesejahteraan rakyat, seni budaya dan warisan Kelantan, kesukanan dan reakrasi, mengukuhkan hubungan antara kaum, cakna perantau dan kebersamaan NGO.
Sementara itu Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan tawaran itu berkata, program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.
Tegasnya, ia bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan sebagai janji malam ini.
“Apa yang kita tawarkan itu juga mengikut keupayaan negeri selepas mengadakan perbincangan dan berharap rakyat terus mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas majlis ceramah dan pelancaran program PN Kelantan, di Tanah Merah, malam tadi.
Tambah Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, untuk manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pihaknya berjaya menyelesaikan 98 peratus.
“Hanya dua peratus sahaja yang tidak selesai dan perkara itu akan diteruskan untuk tawaran kali ini,” jelasnya.
Leave a Reply