MB Terengganu luang masa jumpa bidan ketika lahir

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa menziarahi bidan yang menyambut kelahirannya ketika berada di Jertih, semalam.

Menurutnya, sosok wanita pertama yang menyambut kelahirannya, Mek Wook Hussain, 90-an atau dikenali sebagai Bidan Hajjah Mak Cik Wook di Kampung Pulau Panjang di Besut.

Menurut Ahmad Samsuri, Mek Wook begitu dekat dan istimewa dihatinya malah beliau tidak pernah melupakan dan berharap agar wanita itu dikurniakan kesihatan yang baik.

“Kebetulan saya berada di Jertih, saya tidak melepaskan peluang untuk menziarahi insan pertama yang menyambut kelahiran saya di dunia ini sejak 53 tahun yang lalu.

“Walaupun sudah memasuki usia 90-an, Mak Cik Wook masih sihat dan mengenali saya dan mengingati Ummi. Setiap kali bertemu, pasti momen kelahiran saya diceritakan semula.

“Semoga sosok tubuh ini sentiasa dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT,” tulisnya melalui perkongsian di laman Facebooknya malam tadi.

Pertemuan itu turut disertai isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd. Rahman.

Ahmad Samsuri bersama Tuan Faezah menyertai ziarah Parlimen Besut semalam serta turut meluangkan masa ke DUN Hulu Besut bersama calon Pas, Mohd. Husaimi Husin atau lebih mesra dengan panggilan Abe Mie.

Kesempatan yang ada itu juga dimanfaatkan dengan bertemu penduduk di Kampung Baruh Kual serta penduduk Kampung Warung Kayu Kelat, lapor Sinar Harian.

Pada PRN 12 Ogos ini, Ahmad Samsuri akan mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Suhaimi Sulaiman.

Sebelum ini, pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 6,028 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *