PENGERUSI Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal kewajaran Kerajaan Madani tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes kalimah Allah dalam kes Jill Ireland.
Semasa ceramah di Kapar, Selangor, kelmarin, Muhyiddin mendakwa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Ireland pada Mei lalu membuktikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.
“Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri buat keputusan supaya tidak rayu (kes itu), bodoh tak.
“Tapi Anwar sebagai Perdana Menteri, dia buat keputusan tak rayu, bila kata tidak rayu, maknanya terimala keputusan mahkamah setakat itu, yang membolehkan orang-orang Kristian guna kalimah Allah,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu seterusnya mendakwa Anwar dimanipulasi untuk membuat keputusan berkenaan oleh DAP.
“Saudara tahu siapa yang sebabkan dia (Anwar) buat keputusan itu.
“Dia (adalah) Anwar Ibrahim, tapi di sebalik Anwar adalah anggota-anggota parti DAP yang saya tahu waktu saya jadi Menteri (Dalam Negeri) pun mendesak untuk tidak merayu (kes Ireland),” katanya, lapor Malaysiakini.
Dalam reaksi kepada ucapan Muhyiddin itu, DAP kemudian membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri itu, kerana memainkan isu 3R (kaum, agama, raja-raja).
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan itu semalam, menggesa polis menyiasat Muhyiddin bawah Akta Hasutan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.
“Ini adalah satu perilaku hipokrit PN apabila mereka sendiri menggunakan isu 3R untuk PRN yang berlangsung ketika ini.
“Niat mereka, tidak lain tidak bukan untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan dalam kalangan pengundi terhadap PH,” katanya yang dipetik oleh Sinar Daily semalam.
Kerajaan menggugurkan rayuannya terhadap kes Ireland pada Mei lalu yang membawa kepada kekecohan dalam kalangan masyarakat konservatif yang percaya kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam.
Anwar berkata, keputusan untuk menggugurkan rayuan itu adalah supaya kerajaan boleh meminda undang-undang yang memberi ruang kepada percanggahan dalam isu Allah supaya perkara itu tidak lagi boleh dicabar di mahkamah kelak.
Kerajaan juga bercadang untuk mengehadkan penggunaan perkataan itu oleh orang bukan Islam kepada hanya di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menafikan DAP mempengaruhi keputusan kabinet untuk menggugurkan rayuan kes Ireland.
Pengerusi parti, Lim Guan Eng juga mencabar Muhyiddin untuk mendedahkan menteri DAP yang didakwa melobi mereka untuk tidak merayu kes Ireland ketika pengerusi PN itu menjadi menteri dalam negeri.
Ini kali kedua Muhyiddin meniupkan sentimen orang Islam untuk menentang Kristian dalam kempen pilihan raya mereka.
Semasa pilihan raya umum ke-15, beliau mendakwa sekumpulan Yahudi dan Kristian merancang menjadikan Malaysia diperintah oleh proksi mereka, Pakatan Harapan.
“Bagi saya, ini berbahaya. Adakah ini bermakna akan ada proses ‘Kristianisasi’? Kita pernah dengar cerita sebelum ini, bukan?
“Di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, ada orang Melayu ke gereja pada hari Ahad. Mereka telah jadi orang Kristian.
“Saya tidak fikir (ada ramai) kerana kebanyakan kita adalah orang Islam. Bagaimanapun, agenda dan niat mereka adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai tanah jajahan,” katanya pada November lalu.
Leave a Reply