TIADA jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dihantar untuk membantu kempen Pakatan Harapan (PH)-UMNO di enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Tan Sri Abang Johari Openg.
Premier Sarawak itu menjelaskan pendirian GPS masih kekal untuk tidak menghantar jentera ke enam negeri dan kehadiran semasa hari penamaan calon hanya atas dasar memberi sokongan kepada kerajaan campuran.
“Kita tidak ada menghantar jentera (pilihan raya) kita. Saya ada di sana atas tanda kita sokong kerajaan perpaduan.
“Bahkan, apa yang penting adalah kestabilan politik dan melaksanakan dasar-dasar yang akan menentukan hala tuju Malaysia,” katanya lapor AgendDaily.
Beliau ditanya jika jentera pilihan raya GPS akan dikerahkan untuk membantu kempen PH dan BN bagi PRN enam negeri.
Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor muncul bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Selayang dan Ampang, Selangor pada hari penamaan calon Sabtu lalu.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menggesa pemimpin GPS membantu gabungan itu dalam kempen PRN enam negeri.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, gabungan pemerintah Sarawak itu akan kekal berkecuali dan tidak terbabit dalam kempen PRN negeri lain.
GPS kemudian setuju menyokong, tetapi hanya membabitkan Menteri dan Timbalan Menteri mereka sahaja.
Leave a Reply