‘Dia juga pembangkang dulu, jangan anggap pembangkang musuh’, kata Muhyiddin kepada Anwar

“JANGAN anggap pembangkang sebagai musuh. Dia juga pembangkang dulu. Ada orang dera dia?.”

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ‘layanan’ kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini yang dilihat mahu ‘berperang’ dengan pembangkang.

Menurut Muhyiddin, Anwar sepatutnya menghargai peranan pembangkang yang mempunyai sumbangan besar sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Namun begitu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa apa yang dilakukan kerajaan ketika ini seolah-olah mahu ‘membunuh’ pembangkang dan pemimpin PN.

“Saya tak tahu mungkin dah lama jadi pembangkang jadi dia tak tahu bertindak waras sebagai sebuah kerajaan.

“Saya tak nak mengata buruk tetapi rakyat boleh menilai.

“Kenapa kami jadi sasaran sedangkan kami ambil sikap untuk jadi pembangkang. Kalau ikut sejarah kami dipelawa untuk jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan tetapi saya fikir kita buat keputusan yang tepat (jadi pembangkang),” katanya kepada UtusanTV baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah mempunyai niat jahat terhadap gabungan pembangkang.

Katanya, apa yang sewajarnya dilakukan kerajaan ketika ini adalah mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi rakyat, bukannya ‘memburu’ satu per satu pemimpin pembangkang.

“Waktu zaman saya pun ya, kami menentang rasuah tetapi saya tak sibuk menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka buat kerja sendiri.

“Tetapi dalam banyak kes sekarang ini, dia (Anwar) campur urusan pihak berkuasa tertentu. Gunakan polis, SPRM. Rakyat tahu…nyata.

“Ini satu perbuatan dan tindakan melampaui batas kuasa. Kalau nak katakan salah guna kuasa, kami tak salah guna kuasa kerana kami tak ada kuasa.

“Siapa salah guna kuasa? Ini yang bagi saya kita cuma nak berdoa dia insaf dan sedar, tak boleh meneruskan amalan-amalan yang sebegini rupa dan timbulkan masalah kepada negara,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *