Oleh PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
DILAPORKAN bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada Jumaat lalu mengumumkan pemberian geran sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu, RM200,000 kepada kelab motosikal di seluruh negeri, dan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Semasa acara tersebut, TPM, yang juga pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, menyeru belia yang hadir untuk mengundi ‘gelombang biru dan merah’ pada pilihan raya negeri bulan depan, dengan menambah bahawa jumlah peruntukan mungkin akan ditingkatkan bergantung kepada hasil undi pada 12 Ogos.
Parti MUDA membuat laporan polis dan mendakwa wujud unsur rasuah. NGO Bersih juga mengkritik mengatakan Zahid melanggar prinsip pilihan raya adil. Perdana Menteri mempertahankan Zahid. Ketua Pesuruhjaya SPRM pula berkata tiada unsur rasuah.
Komen saya:
1. Dari sudut menggunakan kuasa sebagai Menteri untuk mendapatkan undi dengan menawarkan peruntukan tertentu jika undi parti tertentu – jelas salah guna kuasa. Duit kerajaan adalah duit rakyat – pembayar cukai bukan dari PH atau BN sahaja, tapi semua rakyat. Jadi guna duit rakyat untuk kepentingan parti satu bentuk salah guna kuasa.
2. Dari sudut rasuah pilihan raya. Berdasarkan Seksyen 10 dan Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958, tindakan menawarkan sesuatu balasan bagi mendorong pengundi supaya mengundi parti tertentu adalah rasuah. Boleh didenda sehingga RM5,000 dan dipenjara dua tahun.
3. Dari sudut ‘pilihan raya bersih dan adil’ amalan demikian bertentangan dengan prinsip demokrasi. Menteri Persekutuan – yang sedang berkuasa sepatutnya tidak berkempen menggunakan tawaran program kerajaan untuk memancing undi. Sedih bila ketua SPRM pun boleh pertahankan tindakan sebegini.
4. Dari sudut retorik hapus rasuah. Ke laut nampaknya!
*PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF adalah Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi UTM Kuala Lumpur
*Artikel ini dipetik daripads HarakahDaily.net
Leave a Reply