ORANG kena tahan (OKT) warga asing berjaya ditahan semula beberapa jam selepas meloloskan diri dari kenderaan polis di Jalan Kuching arah pusat bandar, di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek yang mempunyai kepakaran membuka gari melompat dari trak polis yang sedang bergerak pukul 12.50 tengah hari.
Beliau memberitahu, pihaknya menutup beberapa jalan untuk mengesan OKT berkenaan yang berjaya meloloskan diri dan berjaya ditangkap semula pukul 9.20 malam di Masjid Medan Idaman, Setapak, di Kuala Lumpur.
“Ketika kejadian, OKT berkenaan dalam perjalanan pulan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju selepas selesai permohonan reman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat, suspek dipercayai mengambil masa sekitar 30 minit bagi melepaskan diri dari gari sebelum terjun.
Jelasnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dijalankan terhadap anggota kerana kecuaian ketika menjalankan tugas,” katanya.
Tambahnya, pihak polis sedang mengesan dua rakan sejenayah OKT yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun di sekitar ibu negara.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply