Nik Abduh umum ‘berpuasa’ dari politik

ANAK bekas menteri besar Kelantan, Tan Sri Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, hari ini mengumumkan akan ‘berpuasa’ daripada politik untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.

Kata Nik Abduh, apa yang sedang dihadapi sekarang merupakan detik yang paling sukar untuk dirinya dan keluarga.

Tanpa menjelaskan apa yang dirujuknya dengan lebih lanjut, dipercayai Nik Abdul membuat keputusan tersebut ekoran kemelut politik yang membayangi langkah Pas menyertai pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Di sebalik keberadaannya yang boleh dianggap berprofil tinggi, Nik Abduh tidak dicalonkan untuk mewakili Pas dalam PRN walaupun namanya ada dikaitkan dengan kerusi tertentu di Kelantan.

“Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda,” katanya dalam hantaran menerusi media sosial petang ini.

Pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Malaysia serta memperoleh undi terbanyak bagi jawatan ahli Jawatankuasa Pas Pusat, perjalanan politik Nik Abduh mula merosot selepas beberapa insiden berlaku.

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas pada PRU ke-13 sebelum dipindahkan ke Bachok untuk penggal seterusnya sebelum digugurkan apabila PRU ke-15 tiba pada tahun lalu.

Nik Abduh, 53, dikatakan berminat untuk bertanding dalam PRN kali ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang pernah diwakili bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai langkah terbarunya, Nik Abduh sempat mendoakan Pas agar terus ‘gagah’.

“Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.

Kemelut dalaman Pas Kelantan menjadi bertambah menarik apabila dua hari lalu adik Nik Abdul Aziz, Nik Din Nik Mat, mendakwa Mohd. Amar merupakan dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Abduh sebagai calon PRN Kelantan.

Sedangkan katanya, beliau sendiri bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

“Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus, dan rajin bersuara di Parlimen,” katanya dalam video tular itu.

Menanggapi dakwaan Nik Din, Mohd. Amar yang juga Timbalan Presiden Pas mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah bapa saudara Nik Abduh berkenaan.

Beliau juga menjelaskan nama Nik Abduh memang tidak tersenarai sejak awal lagi.

“Itu fitnah bila mengatakan saya yang menghalang sedangkan dia (Nik Din) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti,” kata Mohd. Amar, lapor Malaysiakini.

Untuk rekod sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Nik Abduh menolak dua kerusi yang ditawakan kepadanya.

Kata Tuan Ibrahim, ketika menolak tawaran berkenaan Nik Abduh berkata, beliau tidak bertanding pun tidak mengapa kerana mahu menumpukan perhatian kepada sekolah agama yang diuruskannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *