Oleh RIZQI ZABIDI
PERBADANAN Menteri Besar (MBI) Kedah membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dianggap sebagai fitnah terhadap anak syarikat kerajaan negeri (GLC) itu.
Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan itu dibuat seorang wanita yang merupakan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI Kedah.
Katanya, laporan berkenaan dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Wanita itu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Saifuddin yang tular dalam media sosial pada 27 Julai lalu menyatakan terdapat seorang lelaki China bekerja dengan MBI Kedah.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Saifuddin dalam siri ceramah sebelum ini beberapa kali membuat dakwaan kononnya terdapat lelaki warganegara China yang dibawa masuk dan diambil bekerja dengan MBI bagi projek unsur nadir bumi (REE).
Alzafny dalam pada itu memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai ucapan menyentuh perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R).
“Secara keseluruhannya terdapat 59 ceramah diadakan di seluruh Kedah semalam iaitu 10 melibatkan Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH), 38 Perikatan Nasional (PN) dan enam bebas.
“Kota Setar mencatatkan jumlah ceramah terbanyak iaitu 13, diikuti Kulim (7), Baling (6) dan Kubang Pasu (5),” katanya.
Leave a Reply