LAPAN lelaki yang berhimpun di hadapan pusat beli belah SOGO di Kuala Lumpur, Sabtu lalu bagi menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) Sabtu lalu, sudah ditahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata semua individu berusia antara 18 hingga 56 tahun ditahan pada hari kejadian.
Menurut beliau, pada himpunan terbabit, mereka mempamer plakad dan kain rentang selain melaungkan “Hanya Tuhan Boleh Menghakimi dan Menjadi Gay Bukan Jenayah’ dan ‘Down down Syariah Court’.
Siasatan mendapati semua mereka adalah pengikut ajaran ‘Ahmadi The Religion of Peace and Light’ sejak dua tahun lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 9 Akta Perhimpunanan Aman 2012.
“Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka pernah ditahan di Putrajaya dua minggu lalu kerana mengedarkan risalah mengenai ajaran itu di Masjid Putrajaya, dua minggu lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini kita sudah merakam keterangan 11 saksi berkait kes ini dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Polis turut difahamkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedang menjalankan siasatan ke atas kumpulan ajaran berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu tular satu satu video berdurasi 48 saat dimuat naik pengguna TikTok memaparkan beberapa lelaki memegang plakad menyokong LGBTQ di hadapan pusat beli belah Sogo.
Antara mesej terpampang di plakad berkenaan adalah ‘Gay people are not criminals and being gay is not a crime’ bermaksud golongan gay bukan penjenayah dan menjadi gay bukan satu jenayah.
Leave a Reply