Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAH
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dalam program di Terenganu, Jumaat lalu.
“Sebagai ahli Parlimen saya tak setuju pengumuman geran tambahan oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri) Zahid Hamidi di Terengganu ketika kempen pilihan raya.
“Rasuah itu isu legal dan persepsi. Rasuah berkait soal etika, bukan legal semata-mata. Pilihan raya tanpa rasuah adalah pilihan raya yang adil dan bersih,” ciapnya dalam Tweeter milinya hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman Ahmad Zahid itu dan menyatakan peruntukan kepada golongan belia di Terengganu tiada kaitan dengan PRN pada 12 Ogos ini.
Sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq
Abdul Rahman menyelar tindakan Ahmad Zahid itu yang disifatkan sebagai satu bentuk rasuah menjelang PRN.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengumumkan peruntukan terbabit semasa merasmikan Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Jumaat.
Ini termasuk peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM200,000 kepada Majlis Belia Malaysia Terengganu bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Ahmad Zahid dalam pengumuman itu meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih ‘gelombang biru dan merah’ dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.
“Saya luluskan bantuan ratusan ribu…..janji 12 Ogos nanti undi parti saya. Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan ‘top up’, akan tambah lagi, insya-ALLAH. Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan
Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” kata Ahmad Zahid.
Leave a Reply