Anwar beritahu Rafizi, Aminuddin bantah pencalonan saya, dakwa Rafie

CALON Bebas, Rafie Abdul Malek mendakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkannya bahawa Rafizi Ramli dan DatuK Seri Aminuddin Harun membantah pencalonannya bagi mempertahankan kerusi Ampangan.

Rafie, yang dipecat PKR kerana bertanding atas tiket Bebas mendakwa, Rafizi berbohong dengan berkata beliau tidak tahu senarai calon untuk PRN Negeri Sembilan.

“Pada 26 Julai, presiden PKR telah menghubungi saya menyatakan Rafizi selaku Timbalan Presiden dan Aminudin Harun sebagai Naib Presiden membantah keras pencalonan saya.

“Mereka (Rafizi dan Aminuddin) terbabit secara langsung dan mereka mahu mencalonkan (Timbalan Ketua PKR Negeri Sembilan) Nazree Kasim.

“Anwar berkata, untuk mengimbangi keadaan, dia tolak dua-dua nama. Saya tak dibenarkan bertanding, Nazree pun ditolak, maka dia pilih calon wanita (Tengku Zamrah Tengku Sulaiman) untuk mengimbangi keadaan,” katanya dalam sidang media di Seremban.

Rafie kemudian memutuskan untuk bertanding di kerusi Ampangan sebagai calon Bebas.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata, calon PRN Negeri Sembilan dipilih secara telus dan mengikut proses ditetapkan parti.

Rafie kemudian mempersoalkan sama ada Rafizi atau Anwar berbohong mengenai pemilihan calon, selain bertanya mengapa Aminuddin mempertahankan kerusinya di Sikamat, yang disandangnya selama tiga penggal.

Bekas Exco itu menegaskan Aminuddin yang kini Ahli Parlimen Port Dickson, selepas memenangi kerusi itu pada PRU15 November lalu tidak membawa pembangunan di Sikamat.

“Saya mahu tanya pengundi Sikamat: apa pembangunan yang dibawa Aminuddin ke Sikamat? Jika dibandingkan dengan Ampangan, begitu banyak pembangunan berlaku sepanjang saya menjadi Adun.

“Apa yang memusnahkan PKR sekarang ialah kehadiran pemimpin tidak berkualiti seperti Rafizi dan Aminuddin,” dakwanya, lapor FMT.

Pada 2021, Rafie menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Aminuddin sebagai ketua PKR negeri dengan mendakwa beliau gagal mengukuhkan akar umbi parti menjelang PRU15.

Ini membawa kepada spekulasi Aminuddin akan diketepikan sebagai Menteri Besar, walaupun Rafie, yang juga Exco negeri, menafikan ada langkah sedemikian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *