AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengusulkan cadangan untuk Kerk mengisi jawatan tersebut berkata Adun Ayer Keroh tersebut mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik.
“Kerk, anak jati Melaka merupakan anak kepada (bekas) Adun Durian Daun (mendiang) Kerk Kim Hock pada 1986 hingga 1990.
“Kerk juga mempunyai Ijazah Perdagangan dan Perakaunan di University of Melbourne, Australia dan mula aktif dalam politik sejak 2017,” katanya pada sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka hari ini.
Ab Rauf berkata Kerk, yang mula aktif dalam politik sejak 2017, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Penasihat DAP Tan Sri Lim Kit Siang serta pernah menjawat jawatan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan negeri pada 2018 hingga 2020.
Cadangan Ab Rauf itu kemudiannya disokong Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Cadangan melantik Kerk sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka kemudiannya disokong 24 Adun, dua berkecuali manakala dua tidak hadir.
DUN Melaka turut mencadangkan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Datuk Mustafa Musa sebagai Ahli Dewan Negara bermula hari ini selama tiga tahun.
Cadangan itu dikemukakan Ab Rauf yang kemudiannya disokong Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan.
Usul mencalonkan Mustafa sebagai Ahli Dewan Negara itu kemudiannya disokong oleh 24 Adun, dua berkecuali manakala dua tidak hadir.
Sementara itu, Kerk ketika ditemui pemberita di luar sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, berkata beliau berhasrat untuk membawa reformasi dalam institusi legislatif tersebut.
Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya persidangan DUN dapat ditambah baik selepas ini.
“DUN bukan satu tempat untuk wakil rakyat berbahas atau bertanyakan soalan semata-mata malah ia merupakan satu ruang dan platform untuk membawa aspirasi rakyat.
“Ada banyak idea yang saya ingin bawa dalam konteks mereformasikan badan legislatif ini,” katanya.
Mengulas pertanyaan adakah pelantikannya akan memperkukuh kerajaan Perpaduan di Melaka, beliau berkata ia merupakan satu lagi langkah diambil antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk tujuan itu.
“Dalam beberapa bulan yang lalu, bila berlaku pembentukan kerajaan Perpaduan di Melaka sudah ada Exco dan Timbalan Exco yang dilantik dalam kalangan Adun PH.
“(Pelantikan) saya ini merupakan satu lagi langkah…bukan kata untuk memperkukuh kerajaan Perpaduan tapi ia sendiri menjelaskan perpaduan dalam kerajaan negeri,” katanya.
Leave a Reply