“KALAU pun orang kata baharu lapan bulan, tapi lapan bulan tak menunjukkan satu keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.”
Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sejak penghujung tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, segala tadbir urus dan soal dasar yang direncana Anwar hanya dibuat secara umum tetapi tidak jelas.
Malah, beliau turut mendakwa tiada satu pun perancangan dilaksanakan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Jelas Muhyiddin, perkara itu cukup berbeza semasa beliau menjawat jawatan nombor satu negara itu apabila pelbagai bantuan dan sokongan diberikan untuk rakyat.
“Di ceramah saya pergi banyak tempat, saya minta rakyat beri satu sahaja apa yang Anwar dah buat setakat ini. Tiada orang boleh jawab. Tiada respons jelas. Berbanding waktu Kerajaan Prihatin yang saya pimpin dahulu, mereka boleh jawab sampai hari ini. Mereka boleh ingat apa kita buat kerana ketika itu waktu susah dan sekarang pun zaman susah,” katanya kepada UtusanTV .
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendakwa tidak nampak petanda bahawa Anwar mampu menguruskan negara berdasarkan tatakelola yang terbaik seperti yang sering diungkapkan Perdana Menteri.
Kata beliau, soal kos sara hidup merupakan perkara besar yang sering dibangkitkan rakyat, namun perkara itu didakwa tidak ‘disentuh’ Kerajaan Madani ketika ini.
“Bebanan hidup, pendapatan kecil, harga barang melambung malah tiada harga yang turun. Bila saya pergi bertemu rakyat, mereka kata satu sahaja yang turun iaitu hujan tapi harga barang lain semua naik. Kalau tak salah dalam kerajaan ada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL). Dengar tak apa cerita NACCOL? Tidak ada,” katanya.
Leave a Reply