Sanusi cabar Saifuddin jawab dakwaan guna Jabatan Imigresen untuk kempen politik di Langkawi 

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu memberi penjelasan mengenai penggunaan jabatan kerajaan ketika menjalankan kempen politik di Langkawi, semalam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Saifuddin dan rombongannya menggunakan Jabatan Imigresen untuk mendaftar masuk di sebuah hotel di Langkawi.

Katanya, tindakan Setiausaha Agung PKR yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu adalah salah kerana menggunakan jentera kerajaan dalam kempen politik. 

“Kelmarin (semalam) pun dia kempen di Langkawi guna Jabatan Imigresen check in hotel, saya tahu. 15 bilik ambik kan ‘tatakelolo’.  Tak boleh tau program parti guna agensi kerajaan, itu salah. Saya tak pernah buat kerja tu dan (ini) tak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

“Jangan cakap (lain) lepas tu kita buat benda lain, cakap tak serupa bikin (umpamanya) minyak turun besok, kan dah tak turun. Lepas tu orang marah, dia marah orang balik. 

“Jangan janji benda yang tak boleh. Saya pun tidak pernah janji yang tak munasabah, kantoi letih nak cover,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Sik, hari ini.

Terdahulu menerusi Facebook beliau, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar sekeping invois tempahan hotel di Langkawi atas nama Jabatan Imigresen yang didakwa melibatkan Saifuddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata akan terus memberikan ‘soalan-soalan’ yang perlu dijawab oleh Saifuddin yang didakwanya sering menyerang pentadbiran beliau dan kerajaan negeri, sejak akhir-akhir ini.

“Saya ada soalan tiap-tiap hari untuk dia, sehari satu. Saya janji nanti saya akan tembak sehari satu (sebab) dia rajin siasat itu ini (sehingga) yang tak perlu dan dah disiasat pun dia siasat lagi. Jadi oleh kerana dia rajin kita bagi dia kes untuk disiasat,” katanya. 

Ketika ditanya sama ada Saifuddin sudah menjawab pertanyaan beliau mengenai projek-projek yang menyebabkan kerajaan negeri rugi ketika di bawah Barisan Nasional dan PH sebelum ini, penyandang DUN Jeneri itu berkata, setakat ini tiada sebarang jawapan diberikan. 

Malah, Muhammad Sanusi turut menjangkakan akan berlaku fasa serangan yang berterusan terhadap dirinya sepanjang proses kempen PRN selama dua minggu yang bermula secara rasmi hari ini . 

“Serang lah apa pun kan. Saya boleh jawab saya jawab, yang tak boleh jawab saya serah Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *