DATUK Seri Rina Mohd. Harun yang mencipta kejutan apabila diturunkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga akan menggunakan pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebelum ini untuk menarik sokongan pengundi.
Menurutnya, walaupun Selangor kubu kuat Pakatan Harapan (PH), beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membuat satu perubahan dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) kali ini.
“Ia memang tidak mudah tetapi kami akan bekerja keras kerana kita lihat sentimen dan situasi sekarang ini membabitkan tujuh bulan kerajaan pusat memerintah banyak janji tidak ditepati.
“Saya akan menggunakan pengalaman sebagai menteri untuk memikirkan cara membantu menaiktaraf sosioekonomi rakyat di Shah Alam ini dan membantu menaik taraf sistem kemudahan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika ditemui selepas selesai penamaan calon di Shah Alam hari ini.
DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Bagi kerusi DUN Batu Tiga, Rina mewakili PN manakala PH diwakili Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Danial AI Rashid.
Seorang lagi calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syaidiyah Izzati Nur Razak.
Bagi Kerusi DUN Kota Anggerik pula, penyandang kerusi itu, Najwan Halimi akan mempertahankan kemenangannya dengan melawan Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar dan MUDA, Azad Akhbar.
Sementara itu, Najwan yakin mempertahankan kerusi itu seterusnya memberi kemenangan kepada PH.
Najwan berkata, beliau bersama Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial AI Rashid yang bertanding di DUN Batu Tiga akan mula menjalankan gerak kerja kempen bermula hari ini.
Menurutnya, jentera parti dan logistik sudah bersiap sedia untuk turun berkempen.
“Kita akan berkempen secara matang dan berhemah tanpa menyentuh sensitiviti seperti yang disaran Sultan Selangor.
“Jadi saya pohon sokongan semua dan kita yakin PH dan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti dan seterusnya mempertahankan Selangor,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply