PUSAT penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Sungai Tua dan Gombak Setia menjadi tumpuan top gun (pemimpin utama) parti politik tanah air untuk memberikan sokongan kepada calon ‘heavyweight’ masing-masing hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim antara yang hadir di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di Gombak pagi tadi sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Mereka mengiringi Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di DUN Hulu Kelang.
Turut diiring, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin (Pas) yang dicalonkan di DUN Sungai Tua manakala penyandang kerusi Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Bersatu) mempertahankan DUN sama.
Selain itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir diiringi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mereka menyertai perarakan bermula dari jambatan Sungai Chinchin kira-kira pukul 8.15 pagi, lapor Sinar Harian.
Rombongan itu mengiringi calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua yang dimenangi beliau sejak 2008.
Turut diiringi calon DUN Hulu Kelang yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli (PKR) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional (BN) yang menghantar pencalonan untuk bertanding di kerusi Gombak Setia.
Suasana di luar pusat tersebut meriah dengan penyokong dan jentera pelbagai parti yang turut melaungkan kata-kata semangat kepada calon masing-masing.
Sehingga pukul 9.50 pagi tadi, proses penamaan calon terkawal tanpa sebarang provokasi dengan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos sementara penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos ini.
Leave a Reply