“MUDAH-MUDAHAN menang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti dilaporkan Astro Awani.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditemui di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini.
Muhyiddin sebelum itu mengiringi tiga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Muhammad Hanif Jamaluddin bagi kerusi DUN Sungai Tua untuk PRN kali ini.
Bagi kerusi Sungai Tua, penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadapi cabaran Muhammad Hanif dan seorang calon Bebas iaitu Suman Gopal.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal.
Mohamed Azmin pula yang berpindah ke kerusi Hulu Kelang dari Bukit Antarabangsa akan berdepan satu lawan satu menentang Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH).
Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertukar kerusi DUN Batu Tiga dengan PKR.
Pada PRU-14, DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.
Dalam pada itu, satu lagi kerusi ‘panas’ di bawah Parlimen Gombak iaitu DUN Gombak Setia akan turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pegawai Pengurus DUN N17 Gombak Setia, Mohd. Hasrul Hisham Abdullah mengisytiharkan penyandang kerusi itu, Muhammad Hilman Idham akan menentang calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Seorang lagi adalah calon Bebas iaitu Mohamed Salim Mohamed Ali.
Leave a Reply