PRN: Bekas ADUN DAP mahu ‘hapuskan’ barah dalam parti itu

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M. Satees mendedahkan, keputusannya bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) menjadi langkah pertama untuk membanteras ‘sel kanser’ yang membarah dalam DAP Pulau Pinang.

Dakwa beliau, impiannya hanya untuk melawan ‘diktator’ yang dikhuatiri akan merosakkan keharmonian parti diterajui Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sambil mengakui masih sayang dengan parti, beliau berjanji tidak akan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) jika men
ang dalam PRN kali ini.

“Sebelum ke sini, ada tiga parti politik tawarkan saya untuk bertanding di bawah logo mereka, namun saya tolak, kerana saya tidak mahu masuk parti lain dan menentang DAP.

“Hasrat saya adalah untuk menjadi calon Bebas yang membawa suara sendiri dalam menentang diktator DAP yang dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan sekiranya tidak dilawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi DUN Bagan Dalam di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Seberang Perai hari ini.

Mengulas lanjut, Satees berkata, pengundi setempat tahu akan kebolehannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada penggal lalu.

Jelasnya, apa yang beliau rasai hari ini sama seperti yang dialami pada 2008 tatkala membantu DAP yang diwakili Dr. P. Ramasamy melawan Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon di Parlimen Batu Kawan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Menurutnya, pada masa itu, DAP tidak mempunyai sumber yang kuat, namun tetap boleh menang.

“Saya sendiri berjiwa ‘fighter’ (melawan) dan saya yakin pengundi dapat menilai yang saya berjuang demi mereka, parti dan keluarga,” katanya.

DUN Bagan Dalam menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Bebas, DAP, PN dan Penang Front Party (PFP).

Selain Satees, tiga lagi calon ialah K. Kumaran (DAP); K.Jayaraman (DHPP-PN) dan S. Rajasakanan (PFP).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *