Oleh RIZQI ZABIDI
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dari Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radzi Md. Amin tidak gentar walaupun dicabar oleh calon ‘heavyweight’, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.
Menurut Mohd. Radzi yang lebih mesra disapa sebagai Pak Su Di, momentum sokongan rakyat yang kini tampak menyebelahi PN menambahkan lagi keyakinannya untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua berturut-turut.
Justeru katanya, majoriti 670 undi yang memberinya kemenangan dalam PRU-14 tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kepada kemampuannya untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Insya Allah kita cuba sedaya upaya mempertahankan kemenangan kerana kebanyakan dalam DUN ini merupakan kawan-kawan dalam pelbagai bidang. Saya yakin gerak kerja selama sepenggal di sini dapat memenangi hati rakyat di DUN Pedu.
“Dalam PRU-14, kita hanya menang dengan majoriti yang sedikit kerana ketika itu BN masih kuat. Tetapi dengan momentum semasa yang tampak memihak PN ketika ini, saya yakin sokongan rakyat di DUN Pedu juga bertambah dan majoriti akan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap.
Beliau tiba ke pusat penamaan calon tersebut bersama calon PN bagi DUN Kuala Nerang, Munir Zakaria kira-kira pukul 8.23 pagi dengan diiringi kira-kira 1,000 penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi.
Mahdzir yang tiba pukul 8.39 pula menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.07 pagi dengan pengesahan pencalonan kedua-dua calon bagi DUN Pedu itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Iman Hazwan Abd. Halim kira-kira 10.30 pagi.
Mengulas lanjut Pak Su Di berkata, beliau amat memahami keperluan penduduk setempat setelah sepenggal berkhidmat di kawasan itu.
“Rakyat di Pedu terutamanya mereka yang tinggal di kampung bukan mahu kayakan diri sendiri sebaliknya mereka mahu hidup dalam keadaan aman damai,” katanya.
Dalam PRU-14, Pak Su Di memperolehi 8,164 undi menewaskan Kama Noriah Ibrahim (BN) yang mendapat 7,494 undi dan calon PKR, Hashim Idris yang hanya meraih 3,272 undi.
Leave a Reply