GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani supaya tidak menyalahguna kuasa dan membelakangkan amanah dalam membuat sebarang pengumuman dasar serta peruntukan daripada kementerian dan agensi Persekutuan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.
BERSIH meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mematuhi larangan 3C, iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate), seperti yang disarankan badan itu di enam negeri yang berdepan PRN.
Badan itu merujuk kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai peruntukan lebih setengah juta ringgit, di Dungun, semalam.
Pengumuman Zahid itu membabitkan tambahan geran kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berjumlah RM100,000, RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.
“Ahmad Zahid dalam ucapannya jelas mengenakan syarat dengan menyatakan jumlah peruntukan ini akan dinaikkan jika parti beliau menang pada PRN ini dan berkempen di hadapan belia yang hadir untuk memenangkan arus merah biru, yang merujuk kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya kali ini.
“Peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu dan bukan untuk semua badan seumpama itu di seluruh negara melanggar prinsip ‘tidak berkempen’, manakala kenyataan yang mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN terang-terang melanggar prinsip ‘tidak bersyarat.’
“Ini berbeza dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai kerangka ekonomi baharu ‘Ekonomi Madani’ yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mengaitkan sebarang peruntukan dengan sokongan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, BERSIH mencadangkan garis panduan 3C dalam aspek penggunaan sumber kerajaan menjelang PRN di enam negeri supaya ia tidak disalahgunakan dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Persekutuan, berbanding pihak lawan.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, walaupun Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kini berada dalam pentadbiran kerajaan sementara dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau mengumumkan peruntukan, namun ia tidak menghalang Kerajaan Persekutuan daripada melakukan perkara itu, yang mampu meraih sokongan pengundi.
Justeru, BERSIH menggesa Perdana Menteri untuk mengawal anggota Kabinetnya dan semua ketua agensi Persekutuan supaya tidak membuat pengumuman dasar atau peruntukan secara semberono, yang melanggar larangan 3C.
“Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan.
“Sudah tentu tidak boleh ada sebarang calon dalam upacara pengumuman. Sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Ahmad Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, larangan 3C adalah untuk ‘menutup lubang’ bagi kerajaan bukan sementara, tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah masing-masing.
“Garis panduan ini bersama dengan etika kerajaan sementara harus dikanunkan sebagai Akta/Enakmen Keberkecualian Pentadbiran Dalam Pilihan Raya di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.
Leave a Reply