Dr. P. Ramasamy

Senarai calon: Masalah Chow belum berakhir, kata – Ramasamy

PENYANDANG yang digugurkan sebagai calon DAP pada pilihan raya di Pulau Pinang antara yang sepasukan atau dianggap sepasukan dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, kata P. Ramasamy.

“Seperti kita sedia maklum, ada usaha untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri.

“Beberapa nama dicadangkan tetapi ditarik balik kerana bantahan kuat daripada pembangkang di Pulau Pinang.

“Parti tiada pilihan selain mencadangkan nama Chow kepada ketua menteri akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy mendakwa, walaupun Chow tidak digugurkan, pihak yang dilihat sepasukan dengannya dikorbankan supaya pasukan lain dapat mendominasi senarai calon.

“Memang diketahui individu atau pihak-pihak di belakang kempen anti-Chow di Pulau Pinang,” katanya tanpa menyebut nama.

“Chow mungkin selamat dari krisis utama dalam kehidupan politiknya tetapi melihat kepada peminggirannya dalam senarai calon, masalahnya jauh lagi untuk selesai.

“Semua keterangan menunjukkan bahawa Chow adalah ketua menteri yang lemah jika pun dia dapat bertahan sepenggal penuh,” katanya, lapor Malaysiakini.

Ramasamy, penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan ketua menteri II, antara yang tidak terpilih semula sebagai calon.

Semalam, seorang ahli majlis Seberang Perai, David Marshel mendakwa pengerusi DAP Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri semula.

Marshel, yang keluar DAP selepas senarai calon diumumkan, akan bertanding di Perai sebagai calon Bebas atas alasan mahu memasukan Chow kekal sebagai ketua menteri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *