Satees keluar DAP, tanding calon Bebas

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees hari ini mengumumkan keluar DAP serta bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

Menurut Satees, beliau membuat keputusan itu bukan kerana kecewa tidak dicalonkan DAP pada PRN kali ini sebaliknya mahu menentang ‘maharaja’ yang didakwanya sedang menyusun gerak kerja di dalam DAP.

Jelasnya, keputusan itu juga disifatkan paling sukar pernah diambilnya sejak menyertai DAP kira-kira 15 tahun lalu dan dalam masa sama berikrar akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Mungkin ada yang kata saya letak jawatan sebab kecewa tidak dicalonkan, malah ramai pihak termasuk kawan rapat serta mentor saya, Dr. P. Ramasamy (bekas ADUN Perai) minta saya pertimbang keputusan keluar parti ini.

“Tetapi jika saya terus berada dalam parti, tangan saya seperti akan terus diikat dan saya tidak ada kebebasan untuk bercakap. Tapi, ini juga tidak bermakna saya bencikan DAP.

“Saya bukan mahu melawan parti tetapi (melawan) ‘maharaja’ (dalam DAP) yang ‘memperlakukan’ Pulau Pinang ini seperti milik bapanya. Maka, sebab itu jugalah saya pilih tema ‘Penang Kita Punya’ untuk kempen saya nanti,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Satees merupakan antara tujuh ADUN DAP termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang yang digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini diketuai Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang tidak akan mempertahankan DUN Prai.

Menurut Satees, sama ada mampu menang atau sebaliknya pada PRN nanti bukan isu utama kerana beliau bertanding untuk memberi mesej kepada penyokong serta pengundi DAP supaya menolak kepimpinan ‘maharaja’ di dalam parti itu.

Malah, beliau turut mendakwa ‘maharaja’ berkenaan mempunyai kuasa untuk membentuk Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu mengikut ‘acuannya’ jika memenangi pilihan raya terbabit.

“Saya tahu kawan-kawan saya (dalam DAP) tidak boleh menyatakan sokongan secara terbuka, tapi tetap bersetuju dengan saya (untuk menentang ‘maharaja’ dalam DAP).

“Sebenarnya perkara ini umpama kita sedang memerangi satu sel kanser. Kadang-kadang kita perlukan pembedahan dari luar untuk membunuh ‘sel’ tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihati penyokong serta ahli DAP yang sependapat dengannya tidak mengambil langkah keluar parti kerana tindakan itu boleh mengukuhkan serta menguatkan pengaruh ‘maharaja’ tersebut.

“Ini antara saya dengan dia (maharaja). Yang lain boleh kekal dalam parti untuk terus menyokong Kon Yeow pada pemilihan parti Mac tahun depan,” tegasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *