Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dicabar untuk menyiasat tatakelola Projek 99 East di Langkawi pada 2007 iaitu ketika Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar yang masih tidak selesai hingga hari ini.
Menurut Muhammad Sanusi, tiada apa yang berlaku dalam projek itu hingga akhirnya menyebabkan kerajaan negeri disaman oleh sebuah syarikat swasta, Terra Monda yang hanya bermodalkan air liur.
“Akibat keghairahan seorang dua ligan projek padang golf dan kediaman mewah, projek yang diuar-uarkan bernilain RM1.4 bilion itu merugikan kerajaan dalam banyak aspek.
“Kerajaan terpaksa bagi tanah milik kerajaan dan tanah bukan milik kerajaan seperti hutan simpan, Permodalan Kedah Berhad (PKB), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) kepada projek itu dan terpaksa cari tanah lain untuk ‘swap’ sekatan rizab Melayu,” katanya dalam status dimuat naiknya di laman Facebook awal pagi ini.
Tambahnya, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada antara 2018 hingga 2020, mereka mendakwa telah memiliki penyelesaian terhadap perkara tersebut.
“Hakikatnya tiada penyelesaian melainkan kerajaan menanggung rugi beratus juta. Dah rajin sangat nak siasat tatakelola, sila suruh kawan-kawan ‘hang’ pi siasat.
“Panggil ‘depa’ seorang demi seorang dan kita tengok siapa yang kena,” katanya.
Ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah kelmarin, Muhammad Sanusi turut mengajukan beberapa persoalan kepada Saifuddin berikutan ‘kerajinan’ menteri itu untuk menjalankan siasatan.
Antara soalan dikemukakan adalah mengenai kerugian dialami Syarikat Air Darul Aman antara 2018 hingga 2020 yang berjumlah RM36 juta selain hutang RM149 juta.
Selain itu, Muhammad Sanusi turut membangkitkan mengenai pembangunan Jerai International Park yang menyebabkan kerajaan negeri disaman RM150 juta sebelum berlangsung rundingan selama 30 tahun hingga akhirnya kerajaan negeri diperintah membayar RM21 juta.
Tidak berakhir di situ, Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin turut perlu menyiasat pemindahan wang milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang berjumlah RM13 juta ke Kanada sebelum beliau menjadi Menteri Besar.
Leave a Reply