PRN: Nik Abduh tak disenarai, Ahmad Yakob pertahan Pasir Pekan

MENTERI Besar kelantan, Datuk Ahmad Yakob kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kekal mempertahankan DUN Panchor, manakala Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Kamarudin Md. Nor akan bertanding di Air Lanas.

Bagaimanapun, nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak disenaraikan sebagai calon Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, bekas Setiausaha Agung UMNO yang menyertai Pas, Tan Sri Annuar Musa juga tidak disenaraikan Pas sebagai calon.

Pengumuman 45 Calon PN Kelantan itu dibuat Ahmad Yakob yang mana menampilkan 51.11% atau 23 muka baharu.

“Suatu sejarah di Kelantan di mana colon di Kelantan terdiri dari pelbagai, ada di kalangan ulama, teknokrat, ahli korporat dan profesional.

“Calon ulama 10 orang, profesional lapan orang, orang muda lima orang, teknokrat 10, aktivis 10, dan wanita dua,” katanya ketika umum senarai penuh calon PN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Sebelum ini, Nik Abduh menegaskan tiada sebarang cubaan memadamkan legasi Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali pun namanya tidak tercalon.

Beliau berkata, menjadi calon pilihan raya bukan sebahagian daripada legasi ‘Tok Guru’, sebaliknya legasi sebenar mempertahankan perjuangan Islam dan kerajaan Kelantan.

Beliau juga menegaskan akan kekal bersama perjuangan Pas.

Sebelum ini, Pas menolak dakwaan parti itu cuba menafikan Nik Abduh bertanding pilihan raya dan mematikan legasi bapanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pimpinan Pas Kelantan sendiri yang mencadangkan nama Nik Abduh untuk PRN akan datang dan ia diluluskan Majlis Syura Ulama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *