MESKIPUN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, namun Datuk Eddin Syazlee Shith diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Juasseh pada PRN ini.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bakal berdepan dengan calon dari BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid.
Menurut Eddin, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai calon apabila terus diberi kepercayaan oleh parti.
“Saya kata sebelum ini terpulang kepada pucuk pimpinan, kalau mereka masih ada keyakinan untuk saya bertanding, maka saya mengambil tanggungjawab itu seperti sebelum ini.
“Tetapi kesetiaan kepada parti yang penting tidak berbelah bahagi. Walaupun jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tetapi saya tetap memberikan komitmen dan komited dengan perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Seremban malam ini.
Dalam pada itu Eddin Syazlee mengakui berdepan cabaran apabila bertembung dengan Bibi Sharliza yang disifatkan satu nama besar sedangkan dirinya hanya ‘underdog’.
Bagaimanapun katanya, soal itu tidak memberi tekanan kepadanya dan akan berusaha melakukan yang terbaik.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatanya beliau berkata, ia sudah semakin pulih.
Malah katanya, akan mengkaji kekurangan dan kelemahan sewaktu pilihan raya lalu sehingga menyebabkannya gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah.
“Alhamdulillah kesihatan saya beransur pulih, ini satu perkembangan yang sangat positif.
“Saya berharap kali ini semuanya berjalan lancar boleh berkempen dengan lebih sempurna dan lebih kuat untuk memastikan kemenangan PN pada PRN ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply