ANAK kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim tidak dapat menolak pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini mempunyai kaitan dengan bapanya.
Danni, 36, yang dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bagaimanapun berkata, itu bukanlah faktor utama kerana jika tidak, sudah lama namanya naik sebagai calon.
“Pastinya semua orang akan cakap apa yang saya dapat dalam hidup disebabkan ayah saya dan saya tak nafikan itu. Banyak contoh lain misalnya Datuk Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng dan juga ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tapi saya akan buat terbaik dengan peluang diberi ini. Cumanya saya bernasib baik kerana ada ayah seperti Tan Sri Rais Yatim,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban malam ini.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata, penglibatannya dalam politik sudah 13 tahun dan ia bermula dengan pelbagai ujian serta rintangan.
Malah katanya, pembabitan ahli keluarga dalam politik juga adalah perkara biasa.
Pada PRN ini, Danni akan bertembung dengan sepupunya iaitu penyandang kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir yang merupakan anak saudara Rais.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian ketika menentang Baharuddin Jali daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.
Mengulas mengenai pertembungan dengan sepupunya beliau berkata, perbezaan politik dalam kalangan ahli keluarga adalah perkara biasa.
“Kita bertanding dalam keadaan sihat, tidak ada nak serang peribadi dan sebagainya. Saya akan pamerkan apa yang saya boleh tawarkan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply