NFA siasatan 1MDB: Bukan keputusan peribadi, tapi kolektif – Apandi

KEPUTUSAN mengklasifikasikan kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) adalah kolektif oleh pasukan petugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) ketika itu dan bukan keputusan peribadinya, kata Tan Sri Apandi Ali.

Menurut bekas Peguam Negara itu, pasukan petugas berkenaan turut dianggotai oleh pegawai SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mesti ada alasan untuk perkara itu diklasifikasikan sebagai NFA, namun tanpa kertas siasatan dan minit, saya tidak ingat alasannya kerana semua itu berlaku lapan tahun lalu.

“Apa yang saya ingat ialah untuk meneliti kertas siasatan, kami di AGC mempunyai pasukan petugas.

“Apa juga keputusan yang dibuat, ia adalah keputusan kolektif pasukan petugas,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian, hari ini.

Apandi berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz, semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lunmpur semalam.

Zeti dalam pernyataan saksinya berkata, Apandi menolak syor BNM untuk memulakan pendakwaan jenayah ke atas pegawai kanan 1MDB, di sebalik banyak bukti dikumpul dan direkodkan mengenai penyelewengan dalam 1MDB.

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata, pasukan petugas ketika itu terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara (AGC), BNM, SPRM, dan polis yang ditubuhkan untuk meneliti beberapa penyelewengan.

“Di sebalik semua bukti yang dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam IP (mengenai 1MDB) yang dikemukakan, AGC ketika itu, atas sebab yang tidak diketahui, pada 11 Sept 2015 memutuskan bahawa IP yang dikemukakan oleh BNM diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA),” katanya.

Apandi yang memegang jawatan Peguam Negara pada waktu itu, membuat keputusan berkenaan pada 11 September 2015 atas sebab yang tidak diketahui.

Sementara itu, Apandi juga dipetik sebagai berkata, di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan sesuatu kes sebagai NFA sekiranya wujud alasan yang kukuh.

“Bagaimanapun, bagi memastikan perkara itu diperhalusi secara telus, saya mengambil tindakan untuk membuat keputusan secara kolektif,” katanya.

Sebelum ini pada Januari 2016, Apandi selaku AG ketika itu telah membersihkan Najib, daripada sebarang salah laku.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *