MENEPATI apa yang diramalkan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kekal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahmad Samsuri dijangka berdepan saingan dua penjuru menentang calon baharu dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaimi Sulaiman.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini, lapor Sinar Harian.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang yang diambil alih daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 6,028 undi.
Dalam saingan tiga penjuru itu, beliau menerima 13,851 undi menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dari BN (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zarawi Sulong (729 undi).
DUN Bandar hadapi saingan tiga penjuru
Kerusi DUN Bandar bakal menyaksikan saingan sengit pada PRN kali ini selepas Pas mengumumkan Ahmad Shah Muhamed sebagai calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan.
Ahmad Shah bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long.
Sebelum ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail yang bertanding di DUN Bandar pada PRU14 lalu terpaksa akur selepas tewas di kerusi yang ditandinginya itu apabila Pas menerusi Ahmad Shah Muhamed menang dengan majoriti 2,091 undi.
Ahmad Shah yang mendapat 7,133 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Toh Seng Cheng (5,042 undi) dan Azan Ismail dari PKR yang meraih 3,996 undi.
Hari pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.
PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.
Leave a Reply