SPEKULASI anak bongsu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah akan dicalonkan bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti, setakat ini disifatkan sebagai khabar angin politik.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, parti itu masih belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Pulai, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Isu berkenaan calon dua kerusi itu tidak disentuh pada mesyuarat pimpinan Amanah Pusat yang berlangsung di ibu negara, dua hari lalu.
“Amanah sebenarnya terbuka apabila PRK berlangsung, sudah tentu jadi tumpuan media. Pelbagai cadangan tentang calon akan ditimbulkan dalam media sosial dan menjadi perbualan hangat, namun calon akan tentukan mengikut prosedur parti,” katanya ketika dihubungi.
Ahad lalu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah sebelumnya dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Salahuddin dipilih menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal iaitu pada 2018 dan 2022, selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Fatihah adalah anak bongsu daripada enam beradik dan merupakan seorang peguam.
Selain itu katanya, Fatihah juga sudah terbabit dalam Wanita Muda Amanah (WARDA) di peringkat nasional.
“Sama ada Fatihah bakal menjadi calon Amanah pada PRK nanti, buat masa ini ia hanya desas desus,” jelas bekas Exco kerajaan Johor itu.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, mengikut prosedur parti, kepimpinan negeri akan menghantar senarai nama calon untuk diputuskan kepimpinan Pusat.
“Apa-apa pun, kita ada prosedur seperti yang dilakukan mana-mana parti politik. Biasanya nama-nama calon akan diangkat daripada kawasan atau bahagian terlebih dahulu.
“Kemudian nama calon berkenaan akan dihantar ke kepimpinan negeri sebelum ke peringkat Pusat yang kemudiannya akan memutuskan calon yang terbaik,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply