”Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat” – Sanusi
Oleh RIZQI ZABIDI
Menteri Dalam Negeri, Datuk Ssri Saifuddin Nasution Ismail dicabar untuk menyiasat tiga skandal yang didakwa berlaku ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengalami kerugian berjumlah RM36 juta dan berhutan RM149 juta.
Disebabkan itu kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri di bawah pimpinannya terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negeri, bagi membayar hutang yang ditinggalkan PH demi menyelamatkan SADA.
“Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini saya nak tanya kamu jawab. Masa kamu (PH) jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta, mengapa masa itu kamu tak siasat?
“RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat? Pergi siasat. Dengan jumlah RM185 juta itu PH punya kerja, Pudin sila siasat. Waktu BN memerintah, dibuat perjanjian dengan satu syarikat untuk membangunkan Jerai International Park. Perjanjian itu telah dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta. Setelah rundingan 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa tak siasat?” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Pilihan Raya Umum Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu menambah, beliau akan mendedahkan satu per satu penyelewengan dan salah urus yang dilakukan BN dan PH berikutan tindakan Saifuddin yang secara berterusan mencabarnya.
Katanya, beliau tidak berniat mendedahkan isu berkenaan, namun terpaksa berbuat demikian kerana terus diasak termasuk dalam isu berkaitan dua warga China yang terbabit kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
“Sekarang kamu jawab ketika BN memerintah Kedah ada duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM13 juta dipindahkan ke Kanada, mana pergi duit itu mengapa tak siasat?
“Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH cium mulut. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini, yang buat kerja BN. Pudin sila siasat, dah kamu rajin sangat pergi siasat. Ada bercambah fail lagi di pejabat saya dan tak pernah dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan keburukan sesiapa, tapi kamu kurang ajar, saya akan londeh kamu setiap hari,” katanya.
Muhammad Sanusi menegaskan, isu politik sepatutnya diselesaikan di medan politik dan agensi kerajaan tidak boleh digunakan bagi mengambil tindakan ke atasnya.
“Kamu tanya saya dua pekerja China yang saya tak pernah jumpa, tak pernah kenal, tak pernah ambil tahu kerana itu urusan syarikat bukan urusan Pejabat Menteri Besar. Saya kena bagi keterangan kepada polis tiap-tiap hari. Hari ini dua kes sampai Maghrib saya kena beri keterangan. Ucapan saya diteliti satu pasukan, setiap perkataan saya diteliti, silap (cakap) dilaporkan.
“Ucapan politik mesti diselesaikan di medan politik, datangkan hujah kamu di ceramah, kamu jawab. Jangan guna agensi salin tiap patah perkataan dan lapor polis, punya pondan,” katanya.
Leave a Reply