PRN: Muhyiddin yakin peluang PN cerah

PERIKATAN Nasional (PN) yakin mampu mengatasi kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pilihanraya negeri (PRN) kerana memiliki sokongan kumpulan majoriti Melayu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, enam daripada 13 negeri akan mengadakan PRN pada 12 Ogos, yang turut dilihat sebagai referendum terhadap pentadbiran lapan bulan kerajaan Anwar.

Peningkatan sokongan terhadap gabungan pembangkang pimpinan Muhyiddin itu dilihat mampu melemahkan kerajaan dan membimbangkan pelabur.

Dalam wawancara bersama Reuters, Muhyiddin berkata gabungan PN yang dibentuknya tiga tahun lalu, melihat peningkatan sokongan sejak PRU pada November lalu apabila kalah tipis kepada blok pimpinan Anwar.

“Saya optimis kita mampu menang lebih banyak lagi,” kata Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan antara 2020 hingga 2021.

“Kami akan menjadi gabungan pilihan Melayu. Mereka akan mempercayai kami untuk berjuang melindungi kepentingan mereka dan Islam.”

Bridget Welsh, penganalisis politik di University of Nottingham Malaysia berkata, pengundi Melayu dilihat beralih ke arah PN, walaupun 30% masih dalam keadaan tidak pasti.

Beliau merujuk kehilangan kepercayaan terhadap UMNO, selain kos kehidupan lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi lembab di bawah Anwar.

UMNO yang bergelumang skandal mengalami kekalahan buat kali pertama dalam sejarah pada PRU 2018, namun berjaya kembali berkuasa sebagai rakan gabungan Anwar.

Muhyiddin berkata, PN turut memaut hati pengundi bukan Melayu, dengan kaji selidik diadakan baru-baru ini menunjukkan ‘peningkatan ketara’ dalam kalangan masyarakat India.

Katanya, blok itu mampu mengekalkan kuasa di tiga daripada enam negeri, malah berpotensi berkuasa di Selangor, negeri terkaya Malaysia.

Katanya, kemenangan di Selangor mampu dicapai. Negeri itu ditadbir parti pimpinan Anwar sejak 15 tahun lalu.

Gabungan Anwar yang bersifat progresif dan berbilang bangsa diterima baik golongan minoriti dan Melayu bandar, manakala PN terbukti lebih popular dalam kalangan pengundi tradisional Melayu serta golongan muda.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui wujud kebimbangan negara menuju ke arah haluan lebih konservatif, selain kedudukan Pas yang semakin kukuh.

Katanya, parti Islam itu perlu menyederhanakan pendiriannya bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia sekiranya mahu memainkan peranan lebih besar dalam politik negara.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *