KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyelar kerajaan kerana mahu menyemak semula akta hasutan atas alasan melindungi institusi diraja dan bukan memansuhkannya.
Penyelaras kempennya, Nabila Khairuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan DatuK Seri Anwar Ibrahim berjanji memansuhkan akta itu ketika menjadi pembangkang.
“Bila berkuasa sekarang, dengan tebal muka mereka tukar nada,” katanya, lapor Malaysiakini.
Semalam, Kabinet bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi raja daripada provokasi.
Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga berkata provokasi membabitkan isu agama dan bangsa akan diteliti, termasuk penggubalan perundangan baru jika perlu.
Dalam kenyataan hari ini, Nabila mengingatkan ketika pendirian itu dibuat Anwar dan PH tidak meletakkan sebarang syarat terhadap pemansuhan akta kontroversi itu.
“Undang-undang seperti Akta Hasutan, yang bercanggah dengan hak asasi manusia tidak boleh dipinda, tetapi harus dimansuhkan,” katanya.
Walaupun PH berjanji menghapuskan akta itu, komitmen sama tidak dinyatakan oleh gabungan lain parti-parti kerajaan seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kerajaan tahun lalu menubuhkan jawatankuasa bagi memperinci dan menggabungkan intipati dalam manifesto parti politik dalam kerajaan untuk dilaksana.
Bagaimanapun setakat ini tidak jelas status semasa perincian itu.
Sementara itu, Nabila mengingatkan, akta hasutan digubal di era penjajah untuk menekan pejuang kemerdekaan dan sekarang ia sudah menjadi ‘sampah-sarap sejarah’.
Leave a Reply