BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Eddin Syazlee Shith mengetuai senarai calon PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dicalonkan untuk menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.
Senarai nama-nama calon itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Hotel Royale Chulan, Seremban, malam ini.
Sebanyak 34 nama calon diumumkan pada malam ini dengan Bersatu mendahului daripada segi jumlah bertanding iaitu sebanyak 15 kerusi, diikuti Pas (12) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (6).
Secara keseluruhan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN. Nama calon bagi dua lagi kerusi DUN Jeram Padang dan Sri Tanjung tidak diumumkan.
Setakat ini tidak dapat dipastikan mengapa PN belum menguar-uarkan calon bagi kerusi tersebut.
Gabungan itu juga tidak mengumumkan calon mereka bagi menduduki kerusi menteri besar jika berjaya menguasai Negeri Sembilan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Faizal tidak menyebut nama parti yang diwakili calon-calon PN.
“Saya mohon kita anggap semua calon yang kita bawa ini calon PN.
“Saya tidak akan menyebut tidak akan namakan sama ada calon dari parti mana. Mereka adalah calon PN,” katanya.
Pengerusi PN Negeri Sembilan itu juga berkata partit mempunyai potensi yang baik memenangi PRN.
“Insha-Allah, berkat dengan kerja kuat setiap daripada kita bekerja sebagai satu kumpulan kita yakin kita akan menukar kerajaan Negeri Sembilan pada PRN akan datang.
“Penting untuk kita memahami bahawa dalam menghadapi PRN akan datang ini adalah daripada kalangan kita semua, para pendukung PN.
“Kita semua mendukung sebuah pasukan yang bersih dan stabil. PN tetap terbaik. Kita yakin menawarkan perkara yang terbaik kepada rakyat di Negeri Sembilan sekurang-kurangnya untuk jangka masa lima tahun akan datang,” katanya, lapor Malaysiakini.
Leave a Reply