Dr. P. Ramasamy

Adakah ini DAP yang sama saya sertai pada 2005 – Ramasamy

P. Ramasamy, yang digugurkan sebagai calon menjelang pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini, tertanya-tanya jika DAP hari ini sama seperti yang disertainya hampir dua dekad lalu.

Ahli akademik berusia 74 tahun yang menceburi dunia politik, dengan menjadi ahli DAP pada 2005, menyatakan demikian berhubung apa yang didakwanya sebagai kekurangan ketelusan dalam pengumuman senarai barisan calon baru parti itu.

“Semalam, pengumuman rasmi mengenai calon dibuat. Sebilangan penyandang digugurkan, atas alasan untuk meremajakan parti tetapi hakikatnya ramai calon yang lebih muda digugurkan dan digantikan dengan calon yang lebih tua.

“Bulan lepas, parti itu menolak senarai calon DAP untuk pilihan raya negeri yang dikatakan tular sebagai palsu, tetapi senarai semalam ternyata hampir sama.

“Mengapa percanggahan dan ketidak-konsisten ini berlaku,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan Timbalan Ketua Menteri itu dalam satu temu bual dengan Malaysiakini.

Tambahan pula, Ramasamy berkata senarai calon yang diumumkan itu memberi gambaran bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam DAP Pulau Pinang dengan kumpulan yang menyokong pemimpin tertentu mempunyai lebih pengaruh dalam barisan.

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan perkara ini secara terperinci.

Menurut Ramasamy, alasan kepimpinan DAP untuk menggugurkan beberapa penyandang adalah tidak wajar.

“Sekurang-kurangnya mereka (DAP) boleh lebih telus, dan berjumpa kami (penyandang yang digugurkan) sebelum memuktamadkan (senarai).

“Saya telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal sejak 2008, dan kini DAP adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah (di peringkat Persekutuan). Perlu ada kematangan dan ketelusan,” katanya lagi.

Berikut adalah petikan temu bual berkenaan:

Soalan: Adakah anda meramalkan sebarang tindak balas daripada pengundi India menjelang PRN ini, susulan apa yang berlaku?

Jawapan: Suara saya adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Politik adalah satu proses; sama ada episod ini akan mengakibatkan sebarang tindak balas adalah terlalu awal untuk dikatakan, kita perlu tunggu dan lihat.

Apabila saya meninggalkan dunia akademik pada tahun 2005 untuk menyertai DAP, parti itu agak popular. Saya telah bersama DAP selama 18 tahun. Ia sebuah parti yang idealistik, tetapi kini persoalannya adakah parti itu masih sama dengan parti yang saya sertai selama ini.

S: Pada pendapat anda, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh Pulau Pinang menjelang PRN ini?

J: ‘Gelombang Hijau’ mungkin ada. Saya tidak fikir Pakatan Harapan akan kehilangan majoriti, tetapi gabungan itu mungkin tidak mendapat majoriti yang sama seperti diperoleh pada pilihan raya lalu. Kita mungkin kehilangan undi Melayu kepada Perikatan Nasional di kawasan majoriti Melayu.

Hakikat bahawa (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md. Nor) ditangkap dan didakwa tidak membantu. PH akan menang (di Pulau Pinang) tetapi majoriti mungkin tidak sebesar masa lalu. Mereka (PN) mainkan isu kaum dan agama, dan kini (bekas Perdana Menteri, Tun Dr.) Mahathir (Mohamad) bekerjasama dengan PN, jadi ini bukan mudah.

S: Apakah pencapaian yang paling anda banggakan semasa berkhidmat?

J: Sekali lagi, saya mewakili semua kaum, tetapi saya lebih dikenali kerana memperjuangkan nasib kaum India yang terpinggir. Selepas DAP menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008, saya mencadangkan penubuhan jawatan Timbalan Ketua Menteri bagi mengiktiraf pengorbanan masyarakat India, dan mewakili suara mereka.

Saya telah ditugaskan dengan kerja itu, dan sepanjang saya berkhidmat, saya telah membantu golongan yang kurang bernasib baik dan golongan B40 (golongan berpendapatan rendah) dalam pelbagai cara. Jika kamu ingat, prestasi buruk BN pada pilihan raya 2008 sebahagiannya disebabkan oleh kejadian perobohan kuil semasa pentadbiran BN, yang mencetuskan perhimpunan Hindraf tahun sebelumnya.

Perkara pertama yang saya lakukan selepas angkat sumpah ialah memastikan tiada tempat ibadat dirobohkan atas nama pembangunan di Pulau Pinang. Itu usaha berpasukan yang sukar.

Seterusnya adalah pembiayaan dan tanah untuk sekolah Tamil, yang ‘samar-samar’ semasa pemerintahan BN. Saya juga mewujudkan biasiswa untuk pelajar dan mahasiswa India.

Pada zaman saya, kuil juga diperuntukkan tanah. Saya melakukan yang terbaik yang mampu. Saya tidak sempurna, tetapi saya berjaya mengharungi banyak halangan dan bekerja dalam kekangan. Saya juga telah membetulkan ketidakseimbangan berkaitan pekerjaan berasaskan kaum di agensi negeri dan menjadikannya berdasarkan merit.

S: Adakah sesiapa dari PN mendekati anda berikutan khabar angin tentang penguguran anda daripada pilihan raya?

J: Saya ada membaca khabar angin yang mendakwa bahawa saya akan berjumpa (pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Ini tidak betul. Saya tidak suka PN, dan tidak bersetuju dengan PN. Malah, saya adalah antara pengkritik paling lantang terhadap gabungan itu, dan pemimpinnya, termasuk Sanusi, (Presiden Pas, Tan Sri Abdul) Hadi (Awang), dan Mahathir.

Saya masih ahli DAP, dan Timbalan Pengerusi DAP negeri. Dalam keadaan sekarang, dakwaan bahawa saya mungkin bekerjasama dengan PN untuk pilihan raya akan datang adalah berita palsu.

S: Apa seterusnya?

J: Saya mungkin menulis memoir, atau terlibat dalam politik dalam erti kata yang lebih luas. Saya telah diberitahu oleh rakan saya untuk berpolitik dalam profil nasional, jadi saya mungkin mempertimbangkannya. Saya akan terus menulis kerana ia adalah latihan mental yang baik.

Saya akan terus memerangi perkauman, diskriminasi kaum, politik berfikiran sempit, dan untuk kebaikan masyarakat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *