SETELAH mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-15 lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sayap parti itu bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan datang merupakan peluang terakhir mereka untuk bangkit semula.
Portal Malaysiakini melaporkan, sumber parti itu memberitahu semasa mempengerusikan suatu mesyuarat semalam Timbalan Perdana Menteri itu juga meminta ketiga-tiga sayap UMNO supaya “lebih ikhlas” mengharungi PRN tidak lama lagi.
Katanya Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Induk BN sempena bagi PRN di enam negeri nanti.
“Presiden memberitahu, sumbangan sayap kepada parti khususnya dalam PRN ini tidak begitu memberangsangkan,” katanya yang turut hadir dalam mesyuarat itu di Kuala Lumpur.
Menurut sumber itu lagi, Ahmad Zahid mengarahkan jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO memberi laporan yang sebenar mengenai situasi di lapangan kepada puncuk pimpinan.
Katanya, Ahmad Zahid menekankan perkara itu kerana maklumat yang tepat diperlukan jika mereka mahu melihat UMNO kembali mendapat sokongan ramai.
“Beliau juga berkata sayap UMNO tidak lagi boleh berfungsi dengan cara konvensional, iaitu terlalu fokus kepada jentera, tetapi rakyat atau pengundi diabaikan,” katanya.
Setelah lebih dua abad menjadi seteru politik, UMNO akan bekerjasama buat kali pertama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya. PRN pada 12 Ogos ini akan melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. UMNO akan bertanding 108 kerusi di enam negeri menggunakan logo BN.
Sumber UMNO itu juga memberitahu Malaysiakini semasa mesyuarat semalam, Ahmad Zahid meminta jentera sayap parti menukar cara berkempen.
“Beliau bertegas bahawa parti tidak akan lagi memberi peruntukan yang besar kepada sayap seperti sebelum ini. Presiden kemudian membandingkan keadaan jentera PH yang jauh lebih kecil dari segi bantuan kewangan dan sumber manusia, tapi masih mampu menarik pengundi lebih banyak berbanding UMNO,” katanya.
Leave a Reply