’’Ada seseorang jadikan Pulau Pinang hak bapanya’’ – dakwa bekas ADUN DAP

SEORANG  bekas ADUN DAP di Pulau Pinang yang digugurkan daripada PRN bulan depan mendakwa “seseorang” menjadikan negeri itu seperti harta persendirian mereka.

Bekas  ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy menyamakan “seseorang” itu dengan maharaja dan mendakwa individu itu diberikan hak penuh untuk menentukan senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.

“Mereka kata (alasan beberapa bekas ADUN digugurkan demi) pembaharuan, darah baharu dan lain-lain. Alasan sebenar ialah seorang individu mahu mengawal Pulau Pinang.

“Malah, DAP negeri tiada kata putus langsung. Semua rakyat Pulau Pinang tahu ia keputusan seorang individu. Ada orang jadikan Pulau Pinang seperti harta bapanya,” katanya pada sidang media di Butterworth, lapor FMT.

Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan tujuh bekas Adun digugurkan dan lima daripadanya adalah exco negeri.

Selain seorang digugurkan atas alasan perubatan, Satees mendakwa beliau dan lima lagi tidak dicalonkan kerana mereka tidak berada dalam kem “maharaja”.

Beliau turut mendakwa mereka digugurkan kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Itu harga yang kami perlu bayar untuk menyokong seorang lelaki baik.”

DAP turut menggugurkan Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy dan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin serta Soon Lip Chee bagi PRN bulan depan.

Bekas ADUN Pulau Tikus, Chris Lee menarik diri atas sebab kesihatan.

Satees mempertahankan prestasinya sebagai ADUN dengan berkata, beliau aktif turun padang dan menyertai banyak perbahasan penting di DUN.

Sebagai pembantu Ramasamy, katanya, beliau tidak tahu dakwaan Ramasamy menemui Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Satees berkata, ancaman lebih besar kepada Pulau Pinang bukanlah sokongan “gelombang hijau” kepada PN, tetapi “maharaja” itu sendiri.

Katanya, beliau tidak bercadang menemui Muhyiddin, tetapi sedia “bekerja dengan sesiapa saja yang mengutamakan kepentingan Pulau Pinang”.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *