15 ketua cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

KIRA-kira 15 Ketua Cawangan Amanah di Paroi, Negeri Sembilan, memberi isyarat untuk tidak akan keluar mengundi pada 12 Ogos nanti, jika parti itu tidak menukar calon pilihan yang diumumkan sebelum ini.

Mereka membantah pencalonan Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dan mahu penyandangnya Mohamad Taufek Abd Ghani dikekalkan.

“Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi. Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang,” kata Ketua Cawangan Amanah Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, beliau juga tidak kisah dipecat daripada parti kerana lantang bersuara mengenai pendirian akar umbi. 

Katanya, apa dilakukan adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon.

Ketua Amanah Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan turut senada dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

“Saya boleh katakan Norwani sebagai seorang ketua yang tidak mengambil berat terhadap ketua cawangannya. Malah kewibawaannya dalam DUN Paroi tidak memuaskan sedangkan YB Taufek sudah dikenali dan menunjukkan prestasi baik,” kata Mokhtar.

Ini bukan kali pertama pemilihan calon pilihan raya PH menjadi isu di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, ADUN Ampangan Mohamad Rafie Abdul Malek membidas kepimpinan PKR berhubung keputusan tidak mencalonkannya bagi mempertahankan kerusinya pada PRN 12 Ogos ini.

Menurut Rafie yang juga Exco Kerajaan Negeri, umum mengetahui beliau bertungkus lumus membantu rakyat di kawasan itu dan membangunkan negeri secara amnya.

Beliau kemudian menuduh “individu tertentu” berusaha  untuk menyingkirkannya daripada pentadbiran Negeri Sembilan.

Rafie, yang juga Timbalan Ketua Cawangan PKR Seremban, memenangi kerusi Ampangan pada 2018. PKR mengumumkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman akan bertanding pada PRN kali ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *