Umat Islam tonton konsert The 1975 perlu minta keampunan Allah SWT

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam yang telah menonton konsert kumpulan kontroversi, The 1975 dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada Allah SWT.

Menurut beliau, ia sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak dapat menjangkakan tindakan tidak bermoral yang dilakukan di hadapan mereka.

Tegas beliau, agama Islam tidak sama sekali menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya.

Namun, katanya, apa yang ditentang dan dilarang oleh Islam adalah hiburan dan apa jua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran dan kelakuan penonton atau peminat.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian dan hiburan.

“Apa yang Islam sarankan adalah semua pihak hendaklah sama-sama berusaha ke arah pembinaan masyarakat yang baik, adil dan bersih.

“Tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangun generasi penerus yang dinamik dan progresif membawa masuk budaya luar yang boleh merosakkan nilai-nilai moral yang amat diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Tambah Wan Salim, dengan mempamerkan kelakuan tidak sopan oleh vokalis kumpulan berkenaan serta kritikannya terhadap undang-undang Malaysia di dalam konsert tersebut, maka jelas kumpulan The 1975 berniat serong terhadap Malaysia yang rakyatnya masih menghormati nilai-nilai akhlak murni.

Dalam masa sama, katanya, pihak penganjur festival juga telah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert tersebut.

”Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital berhak membatalkannya dan tidak boleh dipersalahkan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, kerajaan mengarahkan penganjuran festival muzik kumpulan The 1975 di Kuala Lumpur dibatalkan selepas vokalis kumpulan berkenaan, Matt Healy, bertindak mencium rakan sejantina yang juga gitaris kumpulan itu di atas pentas.

Bukan itu sahaja, Healy turut memegang botol arak di atas pentas selain membuat kenyataan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *