Tentera Darat jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota sebuah kem di Sungai Petani didera

KEMENTERIAN Pertahanan melalui Tentera Darat Malaysia akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terbabit kes dakwaan seorang anggota tentera didera di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya merujuk kepada satu laporan polis bertarikh 21 Julai lalu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Laporan polis itu berkaitan dakwaan seorang individu dipercayai anggota tentera yang mendakwa dia dan beberapa rakannya didera secara fizikal oleh anggota senior di kem terbabit.

“Kes itu juga sudah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.

Kementerian katanya, amat memandang serius mengenai isu dera dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak dalam kes seumpama itu.

Katanya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak PDRM. Justeru itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *